Terhenti di Sini



AMINAH mendengus keras. Geram dengan sikap abangnya yang degil. Sampai bila hendak setia sedangkan hati sendiri yang terluka? Dia memaut jari jemari untuk menghilangkan rasa amarah yang memuncak.
            “Berapa kali Along nak kena cakap perkara yang sama?” soal Hud mendatar. Dia letih. Terlalu letih untuk mengulang ayat yang sama berkali-kali. Hati Along sudah diberikan dengan rela kepada Hanim. Tak mungkin diminta kembali.
            Aminah mengangkat wajah menentang pandangan mata coklat cair di hadapannya. “Dan berapa kali perlu Min ulang perkara yang serupa?” soalnya berani. Dia tidak pernah setegas ini dengan Along. Dia sentiasa ingin menjaga hati Along. Dia sayangkan Along. Terlalu sayang. Dia juga seperti Angah dan mak, mahu melihat Along bahagia tetapi kali ini dia sudah tidak betah lagi menadah telingan mendengar adu resah seorang ibu. Tidak sanggup!
            “Dahlah Min, Along penat dengan semua ini,” keluh Hud lemah. Cadangnya pulang ke kampung mahu berjumpa dengan mak dan tenangkan jiwa tetapi semakin sesak pula jadinya. Kalau tahu begini, dia sudah terbang ke India, destinasi percutian yang belum sempat dia jejaki.
            Sejak peristiwa hampir lebih tujuh tahun yang lalu, dia mencuba menyibukkan diri dengan kerja. Boleh dikatakan dia bercinta dengan kerja. Hanya sesekali dia bercuti, itu pun untuk mengelilingi dunia. Mempelajari erti hidup yang sebenar yang mungkin masih belum dia temui. Andai ditanya, sudahkah dia temui pengganti, jawapannya ya – kerja.
            “Min pun penat Long…” rintih Aminah perlahan. Penat dengan keluh kesah emak yang semakin menginjak usia yang tidak henti mengadu akan kerisauannya terhadap Along. Mengadunya pula bukan sekadar mengadu tetapi diadun emosi. Dia sebagai anak yang paling rapat dengan mak begitu terkesan dengan duka seorang ibu.
Angah pula pihak berkecuali. Tidak mahu masuk campur urusan orang katanya. Alah Angah tu bukannya apa, dia pun lebih kurang Along juga kisahnya. Kalau dia lagilah sadis. Rasa yang dipendam tidak timbul-timbul. Orang suruh luahkan tak nak. Sudahnya, selamat tinggal kasih… Dia tergeleng kecil. Apalah sudah jadi dengan lelaki-lelaki di dalam rumah ini.
            “Mak bukan apa, mak cuma nak lihat anak-anak mak bahagia dengan hidup masing-masing.” Kata-kata mak itu begitu mengusik sanubari.
            “Mungkin, Along bahagia dengan hidupnya sekarang mak. Dia bahagia dengan caranya sendiri.”
            “Achik lihat ke dalam matanya. Adakah Achik nampak sinar kebahagiaan?”
            Waktu itu, terdiam dia seribu bahasa. Terpaksa diiyakan tanpa rela kerana itulah kenyataannya. Dia hanya melihat mata yang kosong tanpa rasa. Kesibukan Along hanya buat menimbus rasa duka di dalam jiwa agar tidak menyelinap menguasai diri sehingga tidak mampu dikawal. Sekadar selingan. Sekadar ‘painkiller’ yang semakin sebati di dalam diri yang tidak lagi mampu mengurangkan kesakitan apatah lagi merawat. Sebaliknya hanyalah distraction dari realiti yang terlalu pedih untuk ditanggung.
            “Kalau macam tu, berhenti.” Suara Along menyentak lamunan Aminah. “Berhenti paksa Along buat apa yang Along tak nak.” Dia tidak pernah pinta rasa ini namun dia tidak pernah harap ia dibawa pergi.
Lirih suara Hud begitu mengusik jiwa wanitanya. “Min, mak dan Angah cuma nak yang terbaik untuk Along. Sebab kami sayangkan Along. Kami nak tengok Along bahagia.” Sepasang mata di hadapannya itu sekali lagi direnung dalam.
            Hud terkalah dengan renungan penuh harapan dari sang adik. Dia memejamkan mata sejenak. Terpenjara dalam ulit rasa yang tidak mampu dia loloskan diri daripadanya. Terbeban dengan pinta harap yang tidak mampu dia tunaikan dengan rela jiwa.
Hud membuka mata merenung wajah adiknya. “Okey.” Dia menarik nafas dalam. Tidak semena-mena pandangannya jatuh pada buku yang terdampar di hadapan Aminah. “Min cari dia ni. Along takkan terima orang lain.” Dia mengangkat sebuah buku yang berada di hadapan mereka itu. “Boleh?” Dia angkat kening, mencabar. Seakan diluar rasional di meminta.
            Aminah merenung buku setebal hampir seinci di atas meja dapur itu. Dia menarik nafas dalam. “Baik! Min akan cari.” Tegas dia bersuara. “Kalau jumpa, Along kena tunaikan janji.”



FUAD menepuk-nepuk pipi yang sengaja dicembungkan.  Kakinya melunjur ke hadapan dengan badan disandarkan pada sofa. Fokusnya tidak lagi pada filem The Maze Runner. Mendengarkan kata-kata Aminah tadi seperti mendengar orang menyuruhnya mencari mutiara di dasar Laut China Selatan.
            “Nak cari dekat mana Min?” soalnya kusut. Satu hal pula dia dengan Aminah terpaksa menjadi penyiasat persendirian demi untuk mencari maklumat tentang seorang penulis yang entah siapa.
            Aminah angkat bahu. “Tak tahu…” Dia sudah menayangkan wajah sememeh mohon simpati. Sudah jenuh dia bertanya di sana sini dan sudah lenguh juga tangannya menggodek-godek laman sesawang. Katakan apa lagi yang belum dia lewati; blogspot, tumblr, instagram, twitter… Pendek kata hampir kesemua. Namun tetap tiada satu pun pembayang yang dia perolehi.
Itulah siapa suruh letak buku itu di atas meja tu. Elok saja terdampar di atas meja di hadapan Along. Along pula bukannya tak tahu, penulis itu begitu perahsia. Dia juga yang selalu berceloteh dengan Along tentang buku-buku yang dia suka termasuklah buku tulisan penulis tersebut. Memang inilah yang dikata orang; Tak ada penyakit, cari penyakit. Aduh!
            “Macam mana kalau…” Fuad tidak menghabiskan ayat. Dia renung sisi wajah Aminah sebelum wanita itu turut berpaling memandangnya.
            “Kalau apa?” tanya Aminah ingin tahu. Keningnya sudah terangkat tinggi.
            “Kalau…” sambungnya beralun dengan mata yang tidak lepas dari wajah Aminah.
            “Kalau apa?” desak Aminah tidak sabar. Boleh pula dia buat saspens dalam keadaan genting macam ni. Nak cari orang yang entah siapa dan di mana ni kalau tidak kena gaya mahu makan tahun jadinya. Along pun bukannya muda remaja lagi. Sudah tiga puluh tiga. Lagi tujuh tahun selamat ulang tahun ke empat puluhlah jadinya.
            “Kalau Anemone ini seorang lelaki?” Fuad mengangkat kening dengan wajah yang cuba dimaniskan tetapi tidak mampu.
            Aminah menelan liur, kesat. Wajahnya semakin keruh. Itu lagi satu masalah. Tak siapa tahu jantina penulis itu. Masing-masing sekadar membuat andaian berdasarkan gaya penulisannya saja. Ramai yang berpendapat bahawa dia seorang wanita dan tidak kurang juga yang berfikiran sebaliknya. Ada juga yang menelah berdasarkan namanya, Anemone Putih – sejenis bunga. Namun tidak mustahil juga seorang penulis lelaki sengaja menggunakan nama itu untuk tidak dikenali dan tidak mampu dijejaki.
            Argh! Kusut.
            “Kalau dia dah berpunya?”
            Satu lagi soalan mencelah di sebalik kusut fikiran Aminah. Aduh! Itu satu lagi masalah. Macam mana kalau Anemone ini isteri orang?
            “Min…” panggil Fuad lembut. “Awak perasan tak?”
            “Perasan apa?” Lebat kerutan di kening Aminah. Semakin berdebar pula dia jadinya. Suaminya ini suka sangat berikan spekulasi di luar jangkaan. Kreatif sangat buat kesimpulan.
            “Along sengaja cakap macam tu sebab dia tahu seakan mustahil untuk kita cari Anemone ni,” luah Fuad mengikut logik.
            “Dan Min akan buktikan, tiada yang mustahil dengan izin Allah.” Aminah bersuara tegas.
            Fuad sekadar tersenyum manis – kelat. Seperti seuncang Teh Boh Kaw yang dibancuh di dalam secawan air dengan sesenduk gula.
            Yalah, tak ada yang mustahil. Sudah berminggu-minggu dia dan Aminah menjadi penyiasat persendirian. Sudah diminta bantuan Pak Google, Mak Cik Facebook, Kak Twitter dan sebagainya namun hampa. Yang ada pun akaun rasmi Facebook bernama Anemone Putih, sekadar itu. Tiada detail maklumat peribadi. Akaun twitter dan Instagram pula sekadar akaun peminat sahaja. Tiada yang rasmi.
            Seriously, it nearly impossible.


BEEP. BEEP.
            Notifikasi pada telefon bimbitnya menunjukkan ada e-mel yang baru masuk.
            Anemone Putih.
            Dia tunjuk pada Fuad dengan wajah cuak.
            “Bukalah…” arah Fuad tidak sabar.
            From: Anemone Putih
            To: Nur Aminah Zulkarnain
            Wassalam, Cik Aminah. Pertama sekali saya memohon maaf atas kelewatan membalas e-mel cik. Kedua, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan cik untuk bertemu empat mata. Beginilah cik, apa kata, cik e-mel saya secara personal mengenai perkara yang cik ingin tanyakan. Kalau saya mampu bantu Insya-Allah saya akan cuba membantu.
            Aminah berkalih ke sisi menatap wajah lelaki di sebelahnya. Mereka berbalas pandang buat seketika.
            “Nak cerita semua sekali ke?” soal Aminah.
            Fuad mengangguk perlahan. “Kecuali yang pasal Along hanya akan terima dia sebagai pengganti.” Dia terhenti seketika. “Takut dia terus tak balas langsung saja nanti.” Mahu terkejut menikus budak tu nanti. Kenal tidak apa tidak terus hendak dijadikan galang ganti. Kalau dia sendiri pun mahu lari bersembunyi terus tidak muncul-mucul walau sekadar buku.
            Aminah mengerutkan kening. “Habis tu nak cakap kita bercerita ini atas dasar apa?” Takkan saja-saja nak bercerita. Macamlah tiada orang lain yang boleh diceritakan masalah. Macam mencari orang yang salah pun iya juga. Sepatutnya andai masalah sebegini wujud, kaunselor yang selayakkan dirujuki bukannya penulis yang masih banyak lagi kerja yang perlu diberesi daripada memikirkan soal masalah orang yang tiada kena mengena dengan hidupnya.
            “Ingin meminta pandangan ketiga?” Fuad mengutarakan pendapat dalam bentuk soalan. “Atau pun untuk minta tolong dia nasihatkan dalam bahasa yang halus yang dapat menyentuh hati Along sebagaimana kata-kata di dalam novelnya yang mampu menyentuh hati awak tu.” Dia sudah tersenyum nakal, mengusik. Apa tidaknya, dua hari dua malam juga Aminah berendam air mata dek terkesan dengan jalan cerita di dalam novel itu, juga kata-katanya yang menyentuh qalbu.
            “Elok bagi saja Along baca novel tu,” ujar Aminah. “Biar rumah Along pun kehabisan tisu juga.”
            Fuad sekadar tergelak.


AMINAH merenung tubuh abangnya yang berselimut. Telapak tangan dibawa mendarat di dahi Hud. Panas. Menurut kata emak, sudah masuk hari ketiga Along demam. Entah angin apa yang mengusik abangnya sehingga antibodinya boleh menjadi selemah ini. Menurut kata emak lagi, pada petang tiga hari sebelumnya, Along ada pergi ke rumah Amin. Lama tidak menjenguk sawah katanya. Balik-balik saja terus demam, selsema, batuk dan muntah-muntah sehingga lembik jadinya tubuh gagah perkasa Along.
Aminah meninggalkan abangnya dan berlalu ke dapur. Biarlah Along berehat. Kasihan Along. Dia ingat hendak masakkan Along sup ayam. Dia capai bekas bawang lalu dibawa ke meja makan. Dia duduk di situ. Tiga ulas bawang merah dikupas kulitnya diikuti dengan dua ulas bawang putih sebelum dihiris nipis lalu diletakkan di dalam mangkuk kecil. Seinci halia dibuang kulit pula dihiris nipis-nipis. Tangan bekerja namun akalnya rancak juga bertugas. Cuba menelah apa sebenarnya yang terjadi.
“Tahu tak kenapa Along boleh demam sampai macam tu?” Fuad yang masuk dari pintu dapur terus duduk di kerusi berhadapan dengan Aminah.
Aminah mengangkat wajah dan memandang wajah Fuad dengan raut tanpa perasaan. “Tak tahan panaslah tu. Along tu kalau ke rumah Amin musim-musim macam ni, galaklah dia memancing ikan puyu.” Melepas gian hingga tidak kenal panas dan mendung. Orang memancing pada waktu pagi atau petang baru teduh berawan. Ini tidak, waktu matahari ceracak di atas kepala pun dibantainya juga. Haih, Along… Along…
“Bukanlah…” pintas Fuad. Itu tidak lain hendak melalut tidak tentu pasallah tu. Along tu bukannya budak kecil yang tidak tahu beza waktu yang sesuai untuk buat aktiviti kegemarannya itu.
“Habis tu kenapa?” soal Aminah ingin tahu. Angah terjatuh ke dalam tali air dekat depan rumah Amin ke?
“Dia terjumpa dengan Hanim...”
“Dekat rumah Amin?” soal Aminah terkejut. Kenapa nak kena terjumpa di saat-saat begini? Di kala dia baru hendak carikan Along pengganti.
“…dan Firdaus…” sambung Fuad tanpa menghiraukan pertanyaan Aminah. Wajahnya masih jua tunak merenung wajah Aminah yang turut memandangnya.
“Hanim dengan Amin tu sedara ke?” tanya Aminah lagi. Ini kemusykilan yang begitu besar. Sejak bila pula Amin, sepupunya itu ada saudara mara bernama Hanim. Eh, kalau saudara mara Amin, bukan ke bererti saudaranya juga? Argh! Pening.
“…bersama-sama anak mereka…” tambah Fuad lagi seakan tidak langsung mendengar soalan Aminah.
Aminah sudah ternganga dengan mata yang membulat. Cantiknya pemandangan…
“…sedang bermain layang-layang sambil berkejar kejaran…”
Aminah menelan liur kesat. Wajahnya sudah seperti tertelan biji durian yang hendak ditelan tersekat hendak diluah tidak dapat. Along…
“…di tengah sawah yang menghijau…”
Pisau di tangan diletak terus di atas meja. Dipandang wajah Fuad dengan mata yang sudah berkaca. Dia lihat Fuad geleng seperti mampu membaca hatinya. Dia menyesal. Sunguh-sungguh menyesal dengan sikapnya. Menyesal kerana tidak cukup mencuba untuk memahami derita jiwa Along.
Terimbau-imbau perbualannya dengan Along empat hari lepas.
“Along cakap cari dia bukan cari e-mel dia. Setakat e-mel, dalam novel yang dia tulis tu pun ada kan? Dekat muka surat belakang sekali.”
            “Min dah cuba cari tapi dia ni misteri sangatlah. Entah dekat ceruk dunia mana dia duduk.”
            “Tak jumpa tak payahlah. Nak susah-susah buat apa?” Waktu itu Hud membalas acuh tak acuh.
            “Betul cakap Fuad,” luah Aminah dengan perasaan berbuku. “Along memang sengaja buat permintaan yang Along sendiri tahu mustahil untuk Min tunaikan. Along bukan saja kejam pada diri sendiri malah pada Min juga.” Dia bernada rajuk.
            “Rupa-rupanya, Firdaus tu sepupu belah mak Amin.”
            Suara Fuad mengembalikan Aminah ke dapur rumah kampung itu. “Sepupu Amin? Jadi… sepupu Min jugalah?” soal Aminah keliru. Macam mana boleh tak kenal sepupu sepapat sendiri ni?
            “Bukanlah…” bantah Fuad. “Sepupu belah mak dia. Min kan sepupu belah abah dia. Pelik kan, selama ini tak pernah terjumpa pun.” Tidaklah pelik juga pun sebenarnya kerana rumah mak dan Amin bukanlah dekat sangat. Adalah dalam satu jam perjalanan juga kalau memandu kereta.
            Kecilnya alahai dunia…
            “Kesian Along…” Dia melepas nafas payah. “Menyesal pula Min paksa-paksa dia. Tak sangka macam ini sekali terderanya perasaan Along.” Along bukan saja-saja hendak merelakan jiwa dirobek hiba. Along bukan saja-saja ingin biarkan diri sendiri terseksa tapi Along tak mampu. Belum mampu.
            Dan dia sebagai adik, tak cukup mencuba untuk memahami.



FROM: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Salam, Muhammad H. Apa khabar?
Hud angkat kening. Siapa pula ni? Pelik saja namanya tapi macam pernah nampak. Roti dicicah ke dalam cawan yang berisi milo panas. Kepingan yang sudah lembik itu dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Dahinya berkerut-kerut memikir. Siapa yang tiba-tiba bertanya khabar ni?
Anemone Putih… Anemone Putih… Anemone Putih…
Aminah Putih…
Eh, Min!
Jarinya pantas menekan butang reply dan menaip ayat balasan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Wassalam. Alhamdulillah, masih hidup. Tak payahlah Cik Anemone susah-susah nak tolong saya. Cik memang takkan mampu tolong pun.
            Dia membaca kembali ayat-ayat yang dihantar. Satu keluhan kecil dilepaskan. Kenapa kasar sangat ayat kau ni Hud? Separuh lagi roti ditangan dimasukkan ke dalam mulut tanpa mencecah air.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Awak sebenarnya bukan tak boleh lupa tapi awak yang tak nak lupa. Bahagia itu pilihan. Bukan hak mana-mana manusia. Kalau kita ada banyak benda yang menggembirakan untuk kita lakukan kenapa memilih momen yang sedih?
Hud menarik senyum sinis. Cakap senanglah. Macam Min juga. Tak habis-habis suruh dia lupa. Yang menanggung seksanya dia. Yang menahan sakitnya dia. Sakit yang bukan sakit fizikal. Sakit yang tiada mampu didiagnosis oleh mana-mana doktor. Sakit yang tiada preskripsi yang tepat untuk diberi.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Macamlah awak pernah lalui apa yang saya lalui.
            Balasnya bosan.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya tak lalui tapi saya pernah rasai. Kalau pun awak tak mampu lupa, belajar terima hakikat yang awak dengan dia tidak ditakdirkan bersama atau paling tidak jangan pula awak yang menjadi penyebab luka pada insan lain. Jangan pula awak yang melukakan hati keluarga awak dalam tak sedar.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Siapa awak nak cakap saya telah lukakan hati kerluarga saya?
            Hud mendengus geram. Suka-suka hati dia saja membuat spekulasi.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Terpulanglah pada awak. Awak sudah cukup dewasa untuk memahami erti Qada’ dan Qadar. Pilihan di tangan awak. Setialah Muhammad H. Setialah. Setialah sehingga awak terluka sekali lagi. Terluka kerana hilang kesempatan untuk membahagiakan orang-orang yang masih ada bersama awak terutama sekali mak awak.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Kalau saya memilih untuk tidak lagi setia, hanyalah jasad. Bukan hati dan jiwa.
            Tiada balasan. Hud tetap menanti. Akhirnya dia meletak telefon bimbit itu di sisi dan matanya dipejamkan rapat menjemput lena.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Ada begitu banyak benda dalam dunia ini kita tak ada jawapan dan ada begitu banyak benda dalam dunia ini kita tak mampu tentukan. Rasa itu anugerah. Indah andai dipegang, sakit untuk dilepaskan. Namun untuk apa mempertahankan tangan yang meronta mahu dilepaskan?
Hidup ini bukan hanya tentang kita.
            Setelah sepuluh minit, baru peti e-melnya punya tamu. Dibaca sepintas lalu sebelum menutup terus telefon bimbitnya dan menyambung tidurnya yang terganggu.


HARI-HARINYA tetap sama. Tiada apa yang berubah. Dia pergi kerja – balik kerja – keluar kawasan – pergi kerja. Aminah pun sudah tidak lagi membangkitkan isu-isu sensitif malahan tiada langsung bertanyakan soal penulis itu. Entah, mungkin inilah yang dinamakan hikmah. Hikmah demamnya tempoh hari. Sejak peristiwa itu, tiada sesiapa pun lagi yang berani bertanya termasuklah mak dan abah. Biarlah, mungkin lebih baik begini.
Berbicara soal penulis pula, Anemone Putih itu pun seakan sudah hilang dibawa taufan sehingga ke pergunungan sehingga tidak terjejak.
Hipokrit. Bukan tidak terjejak, kau yang tidak pernah menjejaki!
Untuk apa?
Dia menyandarkan kepala pada kerusi bas. Mahu pergi ke Pulau Pinang. Ada urusan kerja yang harus diselesaikan. Malas hendak memandu sendiri. Kalau naik bas, boleh melihat pemandangan dan yang paling utama bolehlah juga dibawa berehat barang seketika. Kadangkala terkesan juga dengan kepenatan tapi dia buntu jalan. Dia tidak boleh duduk diam. Dia jadi terkenang-kenang.
Dia mencapai telefon bimbitnya apabila terfikirkan sesuatu.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Boleh jumpa? Ada benda nak bincang.
            Dia menunggu reaksi balas. Seminit, dua minit, tiga minit... Dia melepaskan keluhan berat. Lamanya… Amboi… kau ingat dia tak ada kerja lain selain dari memeriksa peti e-mel saja? Baru saja dia hendak memasukkan telefon Samsung itu ke dalam kocek seluar, ada bunyi menghantar impulse ke otak. Dia buka notifikasi itu.
 From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Maaf, saya terpaksa menolak.
Eh? Dia mengerutkan kening. Sibuk sangat ke sampai menolak terus tanpa bertanya bila dan dimana?
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Sebab?
            Dia pun bukannya lapang selalu tapi memang betul ada perkara yang mahu dibincangkan. Penting. Okey, penting bagi pihaknya tapi kalau diikutkan ada manfaat juga di pihak sebelah sana.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya perlu adil terhadap semua pembaca. Saya memilih untuk tidak dikenali. Saya minta maaf.
            Hud angkat kening tinggi. Aku tak baca pun buku kau! Okey, pembaca e-mel? Dia menjulingkan mata ke siling dengan gelengan kecil tatkala mendengar suara minda. Itu pun nak kira ke…
            Dia lantas menutup telefon, memasukkannya ke dalam poket seluar lalu menjemput lena hadir menjelma.


SELESAI bermesyuarat dengan klien di pejabat mereka, Hud terus pulang ke hotel. Badannya dihempaskan ke katil sambil memeriksa telefon. Ada beberapa mesej whatsapp dan e-mel yang masuk. Matanya lebih tertarik untuk melihat satu e-mel yang baru masuk. Peti masuk dibuka.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Hujung minggu ni pesta buku di PWTC. Saya ada di sana pada hari Ahad. Dari pagi sampai petang. Pusing booth dan Insya-Allah akan singgah di booth yang jual buku-buku tulisan saya. Mungkin boleh berjumpa di sana. Kalau ada rezeki kita akan terjumpa tapi kalau tak, mungkin kita hanya ditakdirkan untuk saling mengenali bukan bertemu.
Orang di pesta buku tu beribu kot. Dahlah dia tu bukannya dinding duduk statik saja. Siap cakap lagi akan pusing booth lain juga jadi macam mana nak tahu yang mana satu? Perkataan terjumpa tu yang tak beragak tu. Hud mengeluh panjang lebar di dalam hati.
Tak kisahlah. Bukannya aku nak sangat pun jumpa dia.
Namun, hujung minggu itu, entah apa yang telah membawanya ke ruangan penuh sesak dengan umat manusia itu. Nasib baik juga dia datang dengan menaiki LRT kalau tidak mahu pening pusing mencari tempat parkir dengan manusia seramai itu.
Hud tercegat di penjuru booth. Mana dia ni? Yang mana satu? Sudah tiga jam dia duduk melangut di tepi rak buku itu. Sudah berpuluh kali juga orang tersilap ingatkan dia tukang jaga booth.
            Kau nak main-mainkan aku ke?
            Matanya terperasan akan kelibat seorang perempuan yang sedang berdiri di hadapan rak buku sambil memlilih buku. Macam kenal. Macam mana tak kenal, sejak dari mula dia sampai lagi gadis itu dilihatnya memilih buku bagai tidak sudah. Rambang mata agaknya. Tidak tahu hendak dibeli yang mana satu kerana harga yang ditawarkan begitu murah bak kata orang harga runtuh.
            Eh, tapi ni betul macam kenal. “Muna?” tegurnya. “Munawwarah?” Dahinya berkerut sedikit. Macam ya tapi macam bukan. Munawwarah yang dia kenal bukan macam ni. Munawwarah yang dia kenal tidak bertudung dan terlalu jarang berbaju kurung apatah lagi berjubah. Dia tercengang terasa seperti melihat anak kucing memakai kasut. Eh? Apa yang kau merepek ni Hud?
            Gadis itu berpaling. Matanya membulat. Macam kenal tapi takkanlah…     
“Hud?” Seperti soalan pula dia menyebut nama sendiri. “Saya Hudlah. Takkan kawan sekelas pun tak kenal.” Orang lain yang dinanti, orang lain pula yang dia temui.
            Munawwarah tersenyum nipis. Memang kenal. “Err… buat apa dekat sini?”
            “Tunggu seseorang,”
            “Ohh.. .” Dia angguk. Macam dapat agak siapa yang ditunggu. Hanimlah tu, siapa lagi. Buah hati pengarang jantungnya.
            “Seorang?”
            Dia angguk. Wajahnya ditahan agar tidak bertukar riak. Kenapa mesti terjumpa di sini? Kenapa? Nanti sekejap lagi mesti orang yang ditunggu akan muncul. Tak kuat rasanya hendak bertemu mata dengan gadis itu setelah bertahun dia berjuang membuang rasa.
Kenapa mesti jumpa dia? Kenapa setelah bertahun dan kenapa setelah dia sudah buang nama lelaki itu dari hidupnya? Sungguh. Dia telah buang segalanya tentang lelaki yang telah melukakan hatinya itu. Tiada yang tersimpan walau sebaris nama. Dan kini, wajahnya kembali menghias layar mata. Segalanya tentang masa lalu harus diusir pergi sebelum ia kembali menghantui.
            “Saya minta diri dulu.” Dia berlalu tanpa menunggu leabih lama. Biarlah, mungkin bukan rezekinya hendak bertemu dengan Muhammad H. Walau pun sejak pagi dia menanti tanpa pergi ke mana-mana. Meski didesak keinginan untuk melihat-lihat buku di booth lain, dia tahan diri kerana hendak menunggu Muhammad H tapi untuk kali ini; Maaf Muhammad H, aku tak kuat. Sebab aku juga punya cerita.
            Hud sekadar memandang gadis itu yang telah berlalu demi menunggu orang yang masih belum memunculkan diri.
            Setelah hampir melepasi waktu Asar, dia berlalu pulang dengan hampa. Ini memang betul dia dipermainkan atau takdir yang tidak mengizinkan? Habis masanya dibuang begitu saja semata-mata untuk mencari sesuatu yang tak pasti.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak datang ke tak tadi?Kenapa tak jumpa pun?
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya datang. Tak ada jodoh mungkin. Nak bincang pasal apa?
Ayat-ayat itu begitu mudah dicerna namun terlalu sukar diterima. Itu saja? Tak ada jodoh? Dia ramas rambut menahan geram.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Nak minta tolong awak tuliskan kisah saya. Untuk saya jadikan kenangan.
            Supaya awak boleh terus setia? Mahu saja ditaip begitu tetapi dia tidak ingin menimbulkan perbalahan yang berlanjutan. Hormatkan saja permintaannya.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Kalau macam tu, apa kata awak e-melkan saja kisah yang awak nak saya tulis. Tentang apa, siapa, di mana dan sebagainya. Lagi menarik kalau gunakan latar yang sama. Senang untuk dibayangkan.
Dan bermula dari itu, e-mel demi e-mel antara Muhammad Hud dan Anemone Putih hanyalah berkisarkan soal ceritera di sebalik teguhnya seorang Muhammad Hud mempertahankan rasa. Padanya yang juga pernah terluka, ubatnya bukan pada manusia.


KISAH itu sudah pun menjadi buku. Kisah Muhammad Hud dan Hanim yang tidak kesampaian. Kisah dua darjat yang mana harta yang menjadi pilihan. Kisah tentang luka seorang Hud lantaran dikecewakan Hanim yang pernah berjanji hidup bersama hanya kerana dia miskin harta. Kisah tentang setianya Hud pada Hanim. Kisah seorang lagi Zainudin. Zainudin moden.
Kisah itu, kisah yang menagih air mata yang mencarik ego seorang lelaki. Kisah itu, tentang mereka. Namun kisah itu, kisah yang tidak lengkap. Kisah yang tanpa Munawwarah yang mencelah di tengah-tengah perjalanan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Saya pergi kedai buku tadi. Epilog jadi best seller. Tahniah.:)
Hud menghantar mesej itu sambil duduk bersila di atas kerusi kayu di laman rumah. Dia memerhatikan anak-anak jiran kawasan perumahan yang sedang bermain bola di atas jalan. Petang hujung minggu yang aman tanpa kenderaan.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Tahniah untuk awak sebenarnya. Terima kasih untuk kisah yang begitu indah untuk dinukilkan tetapi terlalu sakit untuk diimaginasikan. Tapi rasanya lagi sadis andai diselitkan nama Munawwarah yang pernah awak patahkan hatinya dahulu. Tapi, kisah awak kan. Hak awak. J
Hud sudah ternganga membaca balasan e-mel itu. Tiada pernah terduga yang sebaris nama itu bakal muncul di antara dia dan Anemone Putih. Mana dia tahu pasal Munawwarah?
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Macam mana awak tahu pasal Munawwarah?
Sepi.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak kenal Munawwarah?
            Tiada balasan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak… Munawwarah?
Orang di sebelah sana masih membisu dan mungkin akan terus bisu.
Hud capai naskhah Epilog di atas bantal di sebelahnya. Halaman paling belakang dibelek.
Cinta pada manusia itu seperti memancing. Kita letak umpan tapi belum pasti ikan akan makan. Ikan mungkin makan tetapi belum pasti kita berjaya angkatnya ke daratan. Belum pasti jadi milik kita.
Cinta pada Pencipta itu ibarat menadah hujan. Semakin besar bekas yang ditadah semakin banyak air yang memenuhi. Air yang bukan sekadar mendinginkan tetapi juga memberikan penghidupan. Tanpa air, manusia kehausan.

Terlalu banyak yang dia korbankan demi Hanim, namun yang dia dapat hanya luka yang tidak pernah sembuh. Dia menarik nafas dalam.  Mungkin sudah detiknya dia berhenti. Berhenti berharap pada sesuatu yang tak mungkin dia miliki. Dan mungkin, hadirnya Anemone Putih dengan izin Tuhan buat membuka pintu hatinya untuk mula menadah hujan.

Pondok Usang di Pinggir Bendang


LALANG semakin meninggi melatari bumi. Sudah mencapai jendela sisi yang hampir rabak. Tumbuh meliar tidak terjaga oleh kudrat manusia yang terbatas. Jasad uzur dimamah usia bersandar lesu pada dinding dangau sambil menghirup secangkir kopi pekat perlahan-lahan. Rutin yang sukar dihakis. Tabiat yang payah dikikis.
            Hari-harinya berlalu suram membawa harapan. Harapan yang tidak kunjung datang memaknai kenyataan. Untuk berharap itu bukanlah salah. Tiada berdosa tetapi mudaratnya tetap merebak andai tidak dirawat. Meski katanya orang harapan itu seharusnya tiada terbatas. Namun kalau sudah menyeksa diri, menjerut hati sekian zaman masihkah tegar dicambah dan dibaja.
            Detik masa terus menapak pergi meninggalkan waktu yang berlalu tiada terjejak lagi. Seperti juga pondok usang tidak bercat itu. Letaknya sudah semakin tergugat dihambat uzur. Tidak lagi seteguh dulu. Tidak mampu menjanjikan kesetiaan pada tuannya untuk terus tegak bertahan menongkat tanah. Ia juga tahu lelah. Penat menampung jerih badai dengan usia yang sudah lebih seabad. Seabad lebih bertahan dari menyembah bumi tatkala dirempuh angin yang menyerang tanpa amaran. Menanggung gigil dek hujan musim tengkujuh yang berkunjung saban tahun. Cekal menadah bahang yang menggigit tatkala kemarau bertandang berbulan-bulan. Bertahan, demi bakti pada tuan, dengan izin Tuhan.  
Lelaki yang kian lemah dimamah usia itu pula masih lagi setia menanti berteman sepi. Menunggu hari berganti, minggu bertukar, tahun menyusul mengganti bulan dengan penuh pengharapan yang tidak pernah pudar. Penantian yang semakin mampir ke penghujung. Penghujung usia. Tanpa tahu realitinya bagaimana.
Ubi kayu di dalam mangkuk dipandang sepi. Tiada selera hendak dijamah. Lebihan Air Kopi O di dalam cawan yang masih berasap nipis disisipkan ke celah bibir. Sekadar membasahkan tekak. Tanpa menikmati pahitnya seperti selalu.
Matanya menala pandang ke tengah sawah yang baru lepas dituai beberapa hari lepas. Memerhati burung bangau yang mula bertandang, bergerak perlahan mencari ikan. Kanta mata beralih pula ke sudut lain. Dua orang remaja lelaki sedang menyauk ikan. Tanpa sedar ada senyum tawar yang terukir. Terkenangkan zaman sebelum meningkat dewasa. Zaman tanpa hirau hiruk pikuk dunia dengan masalah tanpa sudah. Tanpa peduli caci maki manusia dengan persepsi tanpa batas.
Budak lelaki berdua itu seakan terperasan diperhatikan. Saling bertatapan menghantar pesan melalui renungan. Bersapa dari jauh, dalam bisu. Lama begitu. Membiarkan dimensi mengambil alih ruang waktu bertemu.

MATANYA merenung segenap rumah tidak bercat di hadapan mata. Tiang serinya kelihatan lesu seakan tidak utuh lagi menampung atap. Atapnya pula seperti tidak sabar lagi untuk mengaku kalah, tunduk menyembah bumi. Dindingnya yang berlubang di sana sini seperti petanda bahawa teratak itu sudah tidak betah untuk terus berdiri. Tidak terdaya untuk terus berbakti.
            “Kuat lagi ni.” Tangan yang penuh kedut dengan urat-urat kasar timbul itu menggoncang perlahan tiang seri sambil mendongak memandang bumbung beranda.
Suara garau itu menarik wajah anak muda di sebelahnya untuk berpaling ke sisi. Ada kerutan sedikit di dahi. Dia merenung lelaki tua di sebelah penuh hairan. Kalau rumah yang hampir reput ini yang dikatakan masih kuat agaknya rumah yang bagaimana yang boleh dikatakan sudah tidak kuat?, fikirnya.
“Ini sahajalah rumah yang ada di kampung ni. Itu pun kalau anak tidak sangsi dengan upayanya untuk terus menampung musafir macam anak ni,” tambah lelaki lebih separuh dekat itu lagi. Dia berpaling ke sisi merenung segenap paras anak muda di sebelahnya memancing reaksi.
Tersentak anak muda itu dengan ungkap kata warga emas di sebelah. Dia menelan liur kesat. Ah! Pak cik ni seakan tahu apa yang dibicarakan di dalam hati.
“Adam. Pak Ali boleh panggil saya Adam,” ujar Adam dengan senyuman nipis. Tidak pasti reaksi yang bagaimana yang harus diberikan.
Pak cik ni rabunkah? Tidak nampak yang rumah ini hanya menunggu masa untuk menjejak tanah! Paling tidak, usai pak cik berpaling ke belakang hendak pulang ke rumah, ia sudah tumbang menyentuh tanah! Hah! Tidak mungkin pula dia hendak berkata sedemikian sebagai jawapan. Aduh, kusut pula fikirannya.
Pak Ali membalas senyum sambil mengangguk. “Dekat pekan mungkin ada rumah lain. Jauh sikitlah dari kampung ni. Itu pun kalau masih ada yang kosong,” terangnya lagi apabila dilihat pemuda ini seakan masih berkira-kira. Kalau sudah tidak berminat untuk apa dipaksa-paksa. Lagipun, dia sekadar hendak menolong bukannya ingin mencari untung.
Pak Ali melangkah masuk ke dalam rumah perlahan-lahan sambil diikuti oleh Adam. Ada senyuman kecil yang terukir tatkala dia melihat ruang kecil di dalam rumah itu. Satu sudut kecil ruang tamu tanpa apa-apa perabot. Hanya terdapat sebuah radio yang tampak usang di satu penjuru. Dia melangkah pula ke bahagian dapur. Kecil saja. Mungkin tiga orang dewasa sudah pun mampu menyesakkan ruang. Setelah itu, dia melangkah pula menghampiri bilik tunggal berhampiran dapur. Ada sehamparan tilam dan gulungan tikar di satu sudut.
Adam menarik nafas dalam. “Bolehlah rumah ni.” Dia mengangguk seakan-akan cuba meyakinkan diri sendiri. Tiada salahnya mengambil peluang ini. Peluang untuk dia belajar bersyukur lebih lagi. “Err… sewanya berapa Pak Ali?” tanyanya teragak-agak.
Pak Ali menggeleng. “Pak Ali bukan tuan dia. Nak meletak harga tak layak rasanya. Duduk sajalah. Moga menjadi amal jariah buat arwah,” tukasnya tenang. Kalau pun arwah masih ada, pasti tiada nilaian mata wang yang dia hargakan. Dia tahu itu kerana kenangan yang pondok ini punya jauh lebih mahal dari harta dunia.
“Sewa untuk bulan ini. Dermakan dekat surau,” cadang Adam sambil menghulurkan dua keping not berwarna hijau kepada Pak Ali.
Pak Ali merenung Adam meminta kepastian. Anggukan daripada anak muda itu bersama senyum manis mencuri ruang hatinya. Senyuman berbalas dan huluran bersambut.

KICAU burung bernyanyi riang sambil menari-nari di ruang udara. Menghibur alam dengan melodinya sendiri. Desir angin yang mengusik daun pula mencipta musik latar yang mendamaikan. Adam mendongak memandang langit biru sambil memeluk lutut. Matanya menyoroti tingkah burung yang menarik perhatian. Tangan kanan di bawa menekup mulut. Batuk-batuk kecil kembali menyerang sejak dua hari lalu. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu sejak seminggu sudah.
            “Untung kan jadi burung. Bebas terbang ke mana saja. Tak perlu fikirkan apa-apa masalah macam kita ni.” Adam memecah sepi yang bermukim sejak setengah jam yang lalu. Matanya kembali memandang ke tengah sawah.
            “Apa Adam rasa yang manusia ini tidak bebas? Burung-burung itu tiada mendepani masalah?” soal Pak Ali berkias. Dia membetulkan sila yang sedikit lenguh. Dipaut-paut jari jemari kaki yang mula diserang kebas.
            Adam terdiam. Dia menarik senyum meleret. Inilah yang membuatkan dia kagum dengan bicara orang yang jauh lebih berusia. Setiap patah kata terselindung maksud yang mendalam. Penuh makna.
            “Tuhan letakkan martabat manusia di tempat yang mulia. Lebih mulia dari makhluk lain,” sambung Pak Ali lanjut. Masih dengan siratan maksud yang tak tersingkap tanpa difikiri dan didalami maknawinya.
            Adam senyum lagi. Betul. Akuinya di dalam hati. Allah anugerahkan manusia nikmat yang tidak Dia anugerahkan kepada makhluk lain. Akal fikiran. Namun, nikmat itu pun manusia kadang terlupa untuk bersyukur apatah lagi nikmat-nikmat lain.
            “Manusia, terlalu cepat dibuai dunia. Lupa pada Yang Empunya. Suka berharap pada yang tiada, terlupa dengan nikmat di hadapan mata.” Ada keluhan di hujung katanya. Seperti mengimbau khilaf sendiri.
            “Nikmat sihat yang tak selalu kita endah.” Adam melengkapkan hujahan Pak Ali. Ada emosi pada nadanya. Emosi yang terganggu. Terdera oleh kelatnya hakikat. Dia menarik nafas dalam. Dapat dirasakan udara yang memasuki rongga pernafasan. Seketika, dia menghembuskan nafas perlahan. Tingkah yang diulang beberapa kali. Cuba menghambat rasa itu pergi. Batuk-batuk kecil sesekali bertandang memeritkan ruang tekak. Demi sesungguhnya, perit di tekak tidak tertanding jerih di jiwa yang menanggung beban tanpa nyata.
“Siapa yang abah cari dekat kampung tu?” tanya Adam dari corong telefon.
Bumm! Bunyi itu tiba-tiba menyambut pertanyaannya. Dia terdiam dan terkaku. Sepi mengambil alih ruang waktu. Detik masa seakan terhenti pada titik sama. Lama begitu.
            “Abah...” Tanpa sedar esak kecil mula bertamu. Kenangan itu kembali menghantui. Menghantar rasa berbisa ke relung hati. Sakit dipanah rindu. Rindu yang semakin bernanah.
            “Adam…” Teguran Pak Ali menyentak sila.
Sisa air hangat di pipi dikesat perlahan. Dia menarik senyum hambar sambil mengetap bibir menahan rasa. 
            “Jauhnya termenung,” usiknya dengan tawa kecil.
Adam turut sama tertawa. Senang dengan sikap ramah Pak Ali.
“Adam, boleh tolong pak cik carikan Zahid?” Persoalan itu tiba-tiba mencuri ruang perbualan. Suasana sepi mengisi ruang waktu untuk seketika.
“Arwah belum habis lunaskan hutang untuk tebus tanah ini. Pak Cik ini hanya mampu membayar sepuluh ringgit sebulan itu pun kadangkala tertunggak juga. Entah sempat terlunas entahkan tidak,” tambah Pak Ali lagi. Sedar diri sudah menginjak usia tersisa yang mungkin tidak sampai sesuku.
            “Bagaimana hendak dicari orang yang sudah tiada,” keluh Adam perlahan saja. Terlalu perlahan untuk ditelah insan seusia Pak Ali. Pak Ali menjongketkan kening bertanya.
            Adam menggeleng perlahan bersama senyum hambar. “Insya-Allah, Pak Akob pasti akan jumpa anak dia balik. Allah dah aturkan cuma mungkin tempatnya bukan dunia.”
Pak Ali mengangguk mengiakan. Mengenangkan sahabat yang sudah pergi menghadap Ilahi memang mustahil pertemuannya di dunia.
            “Cikgu Adam…” Pak Ali senyum semasa menyebut panggilan itu.  “Didiklah umat manusia dengan ilmu pengetahuan. Insya-Allah akan jadi bekalan di akhirat kelak. Syaratnya kena ikhlaslah. Kerana Allah semata-mata, bukan yang lain-lain.” Dia terdiam seketika sebelum menyambung bicara. “Jaga amanah Allah baik-baik. Jangan jual dengan apa-apa harga sekali pun. Apa pun kerja, bekerjalah untuk beramal kerana ilmu yang paling bermanfaat adalah yang diamalkan. Macam Pak Cik ni sekolah pun sampai darjah tiga saja. Tanam padi sajalah yang Pak cik tahu.” Pak Ali sempat berseloroh di hujung kata. Adam tergelak mendengar seloroh Pak Ali        
“Apa sebenarnya yang Adam cari di sini?” soal Pak Ali tiba-tiba. Seakan mampu membaca kotak fikirannya. Seakan mampu ditebak jiwa mudanya.
            “Ketenangan.” Sepatah sahaja jawapan yang terluncur dari mulut Adam. “Cari erti hidup.” Dia membesar di tengah-tengah bandaraya yang punya seribu satu cerita. Cerita yang tersorok di celah-celah kehidupan warganya, di sebalik konkrit-konkrit kemajuan kotanya. Dia menjejak kampung, mencari tenang yang tiada dia jumpa di kota.
“Ilmu kehidupan itu tiada dipelajari dalam mana-mana darjah atau tingkatan. Tiada dalam buku tulisan manusia. Dapat dari pengalaman pabila Dia membuka hijab pandangan mata hati dan sanubari. Terlakar indah dalam kitab suci yang layak diteladani oleh segenap kasta masyarakat. Itu pun kalau manusia kisah untuk mencari.” Berkerut seribu dahi Adam mendengar kenyataan Pak Ali. Akalnya ligat mencari makna yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

AKOB berlari-lari anak mendaki tangga. Lari dari panas Matahari yang membahang. Di perut rumah, emak sedang menghayun buaian anak kecil yang sedang terlena didodoi puji puja buat Pencipta. Emak meninggalkan seketika cucunya lalu manghampiri Akob apabila menyedari anaknya itu sudah pulang. Dia berdiri tegak di hadapan Akob. Kepalanya terpaksa didongakkan sedikit untuk memandang segenap penjuru raut wajah anak tunggalnya itu.
            Uncang di tangan kanan Akob melorot ke lantai menjamah kaki. Dia menikam anak mata hitam pekat milik wanita di hadapannya. “Akob dah dapat duit untuk pembedahan Zahid mak,” beritahu Akob teruja. Matanya bercahaya.
            “Akob… kalau polis datang tangkap, Akob akan masuk penjara tahu.” Emak memegang kedua-dua belah bahu Akob. Mata yang sejak tadi menikam mata Akob mula berair.
            “Dipenjarakan seumur hidup sekali pun Akob sanggup. Demi Mak dan Zahid,” balas Akob perlahan tapi penuh kejujuran.
            Wanita tua itu mencerun tajam memandang anaknya. “Apa kau sanggup menderhaka pada Tuhan hanya kerana sayang pada manusia seperti aku ni? Apa yang aku punya Akob?” bentaknya keras.
            Akob mengetap bibir. Terkesan dengan ucap kata wanita itu. “Akob buntu.” Dia menunduk memandang lantai. “Tak sanggup rasanya kehilangan Zahid sebagaimana Akob kehilangan ibunya dulu.” Matanya tutut sama menakung air.
            “Kau mungkin lupa, niat tak akan pernah menghalalkan cara, Akob. Duit yang kau longgokkan ni duit haram! Sanggup kau guna duit haram untuk pembedahan anak kandung kau sendiri?” Emak menyambung tegas.
            “Jadi Mak tolonglah bagi tahu Akob apa lagi yang Akob mampu lakukan?” Akob bertanya lirih. Dia hanya seorang petani yang menanam padi pun di tanah yang disewa. Sewa yang terkadang langsai kadang bertambah. Namun majoritinya, bertangguh sekian musim. Apatah lagi duit simpanan. Langsung dia tiada sedangkan wang belanja sehari-hari pun harus dicatu. Mujur saja dia menanam padi sendiri paling tidak dapat merasa makan nasi berlaukkan garam.
            “Gadai rumah ni. Tanah ni.” Emak menyumbang solusi mudah pada kata namun payah pada tindakan.
            Akob mengangkat wajah. Merenung segenap wajah tua itu. Lama. “Tak Mak! Selagi Akob hidup Akob tak akan gadai tanah ni. Akob sanggup lakukan apa saja tapi tidak mungkin menggadai satu-satunya tanah pusaka peninggalan arwah atuk ni.” Bantah Akob tegas. Kecewa dengan emaknya yang begitu mudah menyerah kalah.
            Jiwa tegar emak terusik jua. Dia menahan rasa. Menahan air mata dari luruh. “Kau lebih sayangkan tanah sekangkang kera dengan rumah yang dah nak roboh ni lebih dari Tuhan kau ke Akob?” soalnya tegas.
Apa Akob ingat mudah baginya untuk merelakan tanah dan rumah pusaka ini tergadai? Ini adalah satu-satunya harta peninggalan arwah ayahnya yang membanting tulang empat kerat. Tapi untuk menggadai maruah dan martabat diri dengan mencuri tidak sama sekali. Hilang seluruh hartanya sekali pun dia sanggup.
            Akob kembali menunduk. Akur dengan kata-kata ibunya. “Di mana lagi kita nak tinggal Mak kalau kita gadaikan tanah ni?” Dia merasakan dirinya gagal sebagai seorang anak. Tidak mampu mempertahankan milik ibunya. Tidak mampu memberikan kehidupan yang baik untuk zuriatnya.
            Siren kedengaran semakin mampir ke laman rumah. Akob dan ibunya saling berpandangan. Kemudian pandangan beralih pula pada bungkusan di kaki. Dadanya Akob berombak kencang. Bercampur baur. Takut dan resah, kesal dan risau.
            “Bumi Allah ni luas nak…” Akhirnya kata-kata keramat itu yang Emak ucapkan.
            “Pak Ali…” panggilan Adam mamatikan lamunan. Air mata yang tersisa di peluput dilap rakus. “Apa yang jadi lepas tu?” soalnya lanjut.
            “Mak Ipah gadaikan tanah ini kepada Tok Kus lepas Pak Akob dipenjarakan.” Pak Ali terdiam seketika. Merenung alam. Dia menarik nafas dalam, cuba memenjara rasa. “Bila keluar dari penjara Pak Akob tebus balik tanah ni tapi Mak Ipah dengan Zahid dah tak ada kat sini. Apa yang Pak Ali tahu, Zahid diberikan pada orang.” Ada sebak yang tersisip pada akhir katanya.
            Adam menelan liur kesat. Dadanya berombak menahan sebak sebu. “Pak Akob tak pernah cari mereka?” Getar suaranya menyerbu bicara.
            Pak Ali melepaskan keluhan berat. “Dia habiskan hayat dia dengan menanti dan berharap.” Akhiri Pak Ali. Sebaknya tidak mampu dibendung.

SUDAH ketemu apa yang dicari?” Anggukan Adam memberi jawapan ringkas. “Tapi nampak Adam macam masih tenggelam dalam soalan membukit.” Pak Ali bertanya lanjut.
            “Bukan soalan yang membukit tapi jawapan yang menghimpit.” Dia mencari asal usulnya, susur galur nasabnya. Sudah dia ketemu namun kenapa masih ada sesal yang menerpa?
            “Itu kerana kamu tidak ketemu jawapan yang kamu hendak.” Adam senyum menyambut kata-kata Pak Ali yang umpama mampu membaca gejolak jiwanya.
            “Pak Ali, terima kasih banyak-banyak atas segala jasa Pak Ali selama saya berada di sini. Tidak terbayar rasanya.” Beg sudah pun dimasukkan ke dalam bonet teksi. Adam berdiri berhadapan dengan Pak Ali.
            “Tak mengapa. Bayaran untuk jasa dan bakti itu bukan hak manusia,” balas Pak Ali bermadah.
            “Maafkan saya andai ada terkasar bahasa, atau terlanjur tingkah laku. Bertuah rasanya dapat berkenalan dengan Pak Ali yang kaya dengan ilmu kehidupan ni.” Sebulan setengah mengenali Pak Ali, terlalu banyak rasanya yang dia pelajari tentang hidup. Hiduplah selagi bernafas. Salah satu pesanan Pak Ali yang sentiasa melekat di ingatan.
            “Subnahallah. Tak layak rasanya mendapat pujian sedemikian rupa. Pak Ali ni sekolah pun tidak habis Adam,” balas Pak Ali merendah diri. Dia menepuk mesra bahu Adam.
            “Ilmu kehidupan tidak dipelajari dalam mana-mana darjah.” Adam berhujah lancar. “Itu yang Pak Ali pesan dekat anak murid Pak Ali ini.” Senyuman tersungging di wajah.
            “Wah, kalau macam ni, kamu akan lulus cemerlang Adam,” usik Pak Ali. Adam tergelak menyambut kata-kata Pak Ali. “Senang-senang datanglah lagi. Rumah ini akan setia menunggu dan tak akan keberatan untuk menyambut tamu,” tambahnya lagi.
            “Insya-Allah.” Adam tersenyum dan bersalaman dengan Pak Ali sebelum membawa tubuh kurus itu ke dalam dakapan erat. “Saya balik dulu Pak Ali,” tuturnya perlahan di kuping telinga Pak Ali. Sebak sebu semakin kejap memeluk hati.
            “Adam            ,” panggil Pak Ali perlahan. “Carilah jawapan dalam sujudmu. Sujud yang padanya ada ketenangan dan kerehatan.” Pak Ali berbisik ringkas sebelum meleraikan pelukan. Membiarkan Adam bolos ke dalam perut teksi.
Teksi mula bergerak mengarah haluan.  Adam merenung ke luar tingkap. Melihat hijau alam yang bakal ditinggalkan. Pokok-pokok yang menjulang tinggi menghias bumi dan daunnya yang meliuk-lentok disapa angin. Bukit yang kebiruan jauh sesayup mata memandang.
Dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Cukuplah jawapan yang dicari selama ini memenjaranya dalam jeriji masa silam. Dia ingin keluar dari belenggu kisah lalu yang memburu. Dia tidak akan terus mengejar jawapan kepada soalan demi soalan yang semakin memenuhi ruang tafsiran kerana ada tugas lain yang belum langsai yang mendesak perhatian. Cukuplah kenyataan di hadapan mata yang menjadi jawapan. Cukup setakat itu. Biarlah rumah usang di pinggir bendang itu terus begitu. Bertahan selagi terdaya. Rebah andai sudah tidak kebah menahan duga. Walau tanpa bertuan, tanpa berwaris.

...........................................
Belajar untuk matang dalam penulisan.
Andai ada yang sudi singgah. Andai ada yang sudi baca, 
Mohon curi sedetik waktu, tinggalkan pesan tulus ikhlas dari hati.
Saya tidak impikan apa-apa melainkan kritik yang ikhlas buat saya.
Dalam apa jua cara. Apa jua susunan abjad yang bercantum membentuk kata.
Asal saja saya tahu,
Ia tulus dari jiwa.